Sunday 20 February 2011

cinta da'wah menuju baitul da'wah


Kerja lebih banyak dari masa yang kita ada dan agenda islam adalah agenda yang tiada noktahnya. Oleh itu dalam menyusuri Jalan dakwah dan kerja-kerja dakwah ini, seorang muslim itu harus tahu bahawa untuk kesinambungan perjuangannya, ia harus menjadikan setiap aspek kehidupannya terancang sebaiknya termasuklah dalam perkara mendirikan rumahtangga.
Seorang muslim yang cintakan islam dan dakwah semestinya harus menuju kepada pembinaan baitul dakwah ini kerana dengan ini cita-cita dan perjuangannya dalam dakwah islam ini ada kesinambungannya.
Adalah menjadi perkara yang penting bagi seorang da'i itu apabila ingin membina baitul dakwah ini ia harus jelas sewaktu sesi taaruf lagi akan kemahuan dan cita-cita pasangan masing-masing dalam mendalami hati terhadap matlamat perjuangan mereka kerana dengan ini akan terbinanya kekufuan yang boleh mengelakkan penyesalan di kemudian hari terhadap cita-cita besar yang ditanamkan dalam diri masing-masing.
Malah kejelasan pendirian dari awal ini juga turut membantu dalam mengerat dan membungakan cinta didalam rumahtangga yang akan dibina biarpun sebelum ini mereka telah memahami islam dan mendapat tarbiyah islam kerana faktor terus terang dan telus didalam taaruf akan memudahkan urusan terkemudian.
Seorang muslim yang cintakan dakwah harus tahu bahawa dakwah adalah kewajipan. Masuliyah ( tanggungjawab) setiap yang bernyawa yang bergelar muslim mukmin. Bukan perkara main main dan pinggiran. Ia nya adalah taklif rabbani. Tuntutan Ketuhanan. Tuntutan Allah yang akan dipersoalkan. Berat, dan kita tiada pilihan.
Bagi para duat yang tersedar, mereka tahu bahawa ini adalah sibghah (Celupan). Sibghah dari sibghah Allah. Kita bertanggungjawab sepenuhnya. Oleh itu dakwah tidak terhenti disusuk tubuh kita sahaja kerana tanggungjawab ini adalah bertali arus yang bermula dari kita hingga ke dalam pembentukan Bait'ul Dakwah.
Dan inilah yang sukar kerana sepasang suami isteri mestilah saling mewarnakan kehidupan mereka dengan sibghah ini. Oleh itu pembinaan dan pemilihan muslim dan muslimah berqualiti harus menjadi prioriti (keutamaan) dalam membina generasi pewaris.
Kita yang cintakan deen ini tidak boleh memandang ringan atau memandang sepi perkara ini kerana tersilap pemilihan akan merugikan dan melambatkan deen ini menuju langit kejayaan. Pemuda pemudi Islam harus mempunyai mind set ini supaya sentiasa bersedia untuk membentuk diri masing masing menjadi rijal dan srikandi yang qowi (kuat) agar nanti antara kita tidak tercari-cari dan teraba-raba dalam kesamaran mencari jodoh masing masing dan mengambil masa yang lama untuk pembentukan ini.
Bersedialah berIntima' (Ikat diri) dengan Jamaah Islam kerana Islam kian hari kian bertambah sukar. Tanpa jamaah kita tidak boleh berbuat sesuatu kerja dakwah dengan sempurna dan teratur. Bersedialah untuk ditarbiyah. Untuk didik aqidah, hati, ibadah dan berkerja secara team work atau beramal jamaai berusahalah untuk tarbiyah dzatiyah (didik diri) tanpa bergantung pada arahan mas'ul atau naqib serta jamaah.
Jamaah hanyalah sebagai pushing power tapi tanpa Dzatiyah dari diri sendiri, memang sukar untuk melonjak prestasi kita sebenarnya kearah berjuang dijalan Allah dan pastinya kita tidak dapat merubah diri dan dimanfaatkan jamaah dan terkadang mutarabbi begini akan menjadi beban dan fitnah kepada jamaah!
Berbalik kepada pembinaan baitul dakwah, kita semua harus memberi perhatian kepadanya kerana terkadang seorang duat pun tidak dapat membezakan antara baitul dakwah dan baitul muslim. Baitul muslim adalah membina keluarga muslim namun baitul dakwah lebih jauh fikhnya. Ia itu untuk membina generasi pewaris. Pewaris Dakwah. Pewaris kerja nabi.
Didalam pembinaan baitul dakwah ini memerlukan chemistry, memerlukan kekufuan serta memerlukan kedua pasangan terlibat dengan jamaah dan dakwah serta tarbiyah kerana dalam pembinaan ini kita memerlukan fikrah yang jelas, cita-cita yang tinggi dan pengorbanan yang berterusan terhadap kerja-kerja dakwah. Tanpa sifat-sifat asas ini sukar untuk mengwujudkan baitul dakwah serta untuk melahirkan generasi pewaris.
Sabda nabi SAW riwayat muslim
"Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik baik perhiasan ialah wanita solehah. Apabila kamu melihatnya, ia akan mengembirakan kamu dan apabila kamu tidak ada, ia menjaga kehormatannya dan harta mu."
Setakat itukah wanita solehah itu? Atau wanita sebeginikah yang ingin melahirkan generasi pewaris? Hadis nabi ini maha benar namun isteri seorang da'i atau pejuang deen ini, bukan setakat itu saja malah ada syarat-syarat lain lagi yang perlu diberi perhatian. Antaranya;
Wanita pilihan mesti mencintai Akhirat!
Kerana wanita amat suka kebendaaan, keselesaan kemanjaan dan kecintaan yang berlebihan sehingga ini akan menyalahi fitrah dalam realiti dakwah dan ini telah berlaku dalam kehidupan Rasullullah sendiri apabila dakwah sampai kekemuncaknya! Isteri-isteri Rasul suatu ketika mengkritik terhadap kehidupan kesusahan mereka disamping Rasullulah sehingga Rasul memberi pilihan kepada mereka sama ada redha didalam susah atau bersedia menerima talaq! Firman Allah:
" Wahai Nabi, katakan kepada Isteri2mu , jika sekiranya kamu mahu kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah, supaya aku berikan kepada kamu pemberiah mut'ah dan aku lepaskan kamu dengan cara sebaik baiknya. Dan jika sekiranya kamu mahukan keredhaan Allah dan Rasulnya serta negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah telah menyediakan pahala yang besar bagi orang orang yang berbuat baik antara kamu" (Al Ahzab 28-29)
Realitinya perempuan memang dikuasai oleh tabiat lemah, inginkan kebesaran dan cintakan kebendaan dan ini akan menghalang perjuangan suaminya melainkan apabila ia dapat membebaskan dirinya dari sifat-sifat tersebut dan menyintai akhirat.
Kerana apa? kerana cintakan akhirat merupakan syarat kepada seorang isteri da'i untuk memikul beban dakwah kerana tanpa cintakan akhirat seorang isteri akan meninggalkan kesan buruk kepada jiwa suaminya terhadap dunia dan akan mencenderungkan suaminya mencintai dunia dengan pengaruh kehidupannya.
Wajibnya pengarahan mencintai akhirat kepada wanita yang dijalan dakwah adalah disebabkan sifat semulajadi mereka yang selalu mahukan keistimewaan dan jika tidak diarahkan akhirat pastinya menggangu usaha dakwah.
Kita lihat bagaimana al Quran memberi kejutan kepada isteri-isteri nabi apabila mereka demandtentang hidup mereka,
"Boleh jadi jika nabi menceraikan kamu, tuhanmu akan mengantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik dari kamu yang menurut perintah, ikhlas, taat, bertaubat, beribadat dan berpuasa janda atau anak dara." (At- Tahrim 5)
"Mengantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik dari kamu".
Teguran Allah ini juga telah menyedarkan isteri-isteri nabi dari meminta keistimewaan kepada taat kepada apa yang diberi oleh Nabikerana mereka takut Allah gantikan mereka dengan wanita lain untuk nabi dan mereka tidak mahu ada wanita lain lagi yang lebih baik dari mereka.
Satu yang perlu diberi perhatian bagi seorang akhawat yang cintakan dakwah dan ingin menjadi isteri seorang da'i adalah, jelas niatnya!
Akhawat itu sewajarnya menjadikan perkahwinan dengan seorang da'i yang dicintainya dengan niat memasukan dirinya dengan realiti dakwah bukan memasukkan dirinya didalam kehidupan da'i itu. Dengan erti kata menjadikan dakwah sebagai matlamat dan bakal suaminya adalah hanya teman dan alat menuju matlamat.
Jika inilah yang kita semua fahami wahai pemuda dan pemudi Islam, insyallah pastinya kita dapat mengwujudkan sebanyak banyaknya baitul dakwah yang menjadi penerusan kepadan perjuangan ini.

*artikel ini disalin daripada iluvislam.com. walaupun pada mulanya ana hanya ingin hanya mengeluarkan idea sendiri untuk penulisan blog ana, tapi ana sangat-sangat tertarik dengan artikel ini. inilah syarat-syarat yang ana letakkan pada bakal zaujah ana kelak. sesiapa yang dapat menerima syarat ini, maka dialah zaujah ana... ana juga sedang berusaha menjadikan diri ana seorang yang dapat meletakkan da'wah sebagai keutamaan dalam hidup ana..
wallahua'lam..

Saturday 19 February 2011

loghat...

Ku mulai celotehku hari ini dengan menyebut nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha mengasihani..

Assalamualaikum warahmatullah...
apa khabar antum semua?harap-harap semuanya sihat..
tiba-tiba ana rasa nak menulis tentang loghat pula hari ni. ana nie orang perak, jadi eloklah sekiranya ana masukkan sedikit unsur perak ana di dalam blog ni.lagi menarik bukan? ana membesar di kampung..kalau kat kuale ni, loghat die lain, tak berape nak pekat beno. kalau nak lagi pekat, kene pegi ke parit(satu name tempat di perak tengah). hah, kat situ memang pekat beno le, sampei ana sendiri pun tak berape nak paham kalau deme belabun. tapi kebanyakan oghang mude sekaghang, deme tak belabun pekat beno dah.. kalau menyembang dengan oghang tue,kadang-kadang terkeluo le istilah-istilah yang ana sendiri pun tak faham. kalau ana balik kampung, ana suka menyembang dgn poh ana.. walaupun umo die dah nak cecoh 80 tahun, tapi kedeghat die ngalohkan oghang mude. die kabo heboh lutut sakit, ana kabo rehat le poh...tak payoh le buat keghoje dah. tapi biase le kan, deme ni memang tak gheti nak duduk rilek je. deme daghi mude dah rajin keghoje..dalam die heboh sakit lutut tu, tiap-tiap pagi die akan menyapu sampoh kat luo ghumoh die, mengemaih ghumoh, bagi ayam-ayam die makan.. ana peghati je die.. bile die tengah menyapu tu, kejap-kejap die duduk ataih tanoh. pasei ape pulok? kan lutut die sakit, die rehat le kejap.ade dalam 5 minit lebih kughang, die bangun balik pastu menyapu semule. "Ya ALLAH, moga Kau terus menyihatkan tubuh badan opahku dan semoga Kau menarik nyawanya nanti dalam keadaan yang mudah". ana berdoa pade ALLAH untuk poh ana. ana sangat sayangkan die.. poh ana kuat amalannye, hampir setiap mase die di atas sejadah.
     tibe-tibe tengah syok menaip ni, ana teringat pulak kat arwah tok ana.tok ana meninggalkan dunia yang fana ni pada bulan disember 2005. ana masih ingat lagi, dia meninggal ketika ana sedang menduduki SPM. arwah tok ana adalah antara orang yang disegani di kampung ana dan kampung sekitarnya; kg menora, kg buaya,kg senggang; disegani kerana ilmu agamanya. dan semasa hayat dia, dia adalah orang yang paling tua di kampung ana. semasa dia meninggal,umurnya 86 tahun(kalau ana tak silap le. dah lupe). tok ana sangat kuat fizikal dan ilmu agamanya. bahkan sebelum hari dia meninggal, dia masih mampu menunggang motosikal dia(sampai sekarang motor tu ade lagi di rumah opah). dia pergi sangat mudah. sangat segar lagi di ingatan ana, pagi tu tiba-tiba tok mengadu sakit dada. ana dengan yang lain-lain pergi tengok sebab tok biasa sakit dada ni. dia kata taknak pegi hospital. sampai tengahari, kami tengok keadaan dia macam agak sukar. terus paksu ana bawak ke hospital. kerana kemudahan pengangkutan yang kurang pada masa tu,ana hanya duduk di rumah menunggu berita daripada mak ana yang ikut ke hospital. dan lebih kurang pukul 6 petang tu, ana dapat berita tok dah pun menghembuskan nafas terakhirnya. ana mengalirkan air mata, terus bagitahu kat opah. opah menangis. mayatnya tiba di rumah kira-kira pukul 9 malam..dan dikebumikan keesokan harinya. Alhamdulillah, ALLAH mengtakdirkan ana takde 'exam paper' pada hari pengkebumian. kalau tak, ana tak tahu macam mana nak jawab exam.
     memoriku berlalu.... setelah beberapa hari tok dikebumikan, ana belabun dengan poh. macam-macam le kume sembang, sampei ke topik pasei tok ana...yang menariknye, poh ana bagitahu kat ana tentang tok ana. "die tu selalu beno cakap kt poh.. kalau nanti die nok meninggal, die taknok menyusohkan anok cucu die..maknenye die taknok die sakit teruk sebelum die meninggal. kalau die sakit teruk, kan susah anok-anok nok jage nanti. Alhamdulillah, ALLAH bagi die nikmat tu.." ana menung kejap. betul! memang tok ana tak sakit teruk sebelum die meninggal. pagi tu die hanya sakit dada sikit dan sesak nafas yang tak teruk. mengikut cerita mak ana(die ade kat hospital mase tok meninggal), tok pegi senang sangat. petang tu die nampak macam akan pulih, tibe-tibe je tok cakap die nak pergi dah... tok senyum dan terus tutup mata. begitu mudah! ana sampai sekarang suka cerita tentang tok ana kepada orang lain. ana sangat bangga dengan tok ana. amalannya hebat, ALLAH bagi die nikmat itu. sampai ke hari ni, dah 6 tahun berlalu...tapi memori tok tetap segar dalam ingatan aku.. bagaimana tok seminggu sebelum die meninggal, die beli baju kot 'bundle'. die pakai baju tu mase solat jumaat terakhirnya.. poh ana tegur die mase die pakai baju tu nak pergi solat. "hai,lawa beno ni. ape hei berie beno pakei baju kot ni? tok ana senyum je dan terus berlalu naik moto honda cup petak die.. kami pun jadi pelik. tak pernah-pernah tok ni menyemart macam ni. rupe-rupenye, itu jumaat terakhirnya, seolah-olah die dah tahu die akan pergi.. ana sangat menyayangi tok ana,moga ALLAH meletakkan dia bersama para solihin.
    aseinye tadi nak belabun loghat peghok je, tibe-tibe masuk ceghite lain pulak. tapi takpe le, ana saje je ceghite tentang tu...tibe-tibe ana teringat tadi, nak buat macam mane. ghumoh ana sebelah ghumah poh, tu pasei senang nak menyembang kalau ana balik kampung.. minggu ni dah 3 minggu ana tak balik, rase sayup-sayup je ana dengo kampung memanggil.. rindu pada kampung,ini sunnah rasulullah.. lihat sahaja bagaimana rasulullah rindu pada mekah ketika baginda berada di madinah. walaupun madinah pada ketika itu dah berkembang pesat, baginda tetap bercita-cita untuk mengubah kampung halamannya. begitu jua dengan ana. walaupun hati kurang tenang bila di kampung, itu tetap kampung ana.. suatu hari nanti, ana pasti akan merubah suasana kampung ana. itu tempat ana dibesarkan. mase kecik-kecik dulu ana sangat nakal. ape yang mak cakap jangan, yang tu ana buat. mandi sungai, masuk hutan..kerinduan pada kampung meningkatkan lagi azamku..insyaALLAH,diberi kekuatan olehNYA..
     rasenye sampai di sini dulu warkah ana. insyaALLAH ada kesempatan ana akan menulis lagi.. moga jari ini akan terus rajin menaip demi menyebarkan al-Haq.
wallahua'alam bissawab...
wassalam... ~ ~ ~

*rujukan antum

mana-mana perkataan yang ade "gh" cth 'oghang', maksudnya orang tetapi disebut dalam sebutan perak.
sampei- sampai
deme- mereka
belabun- bersembang
poh-opah
cecoh- mencecah
kedeghat- tenaga
ngalohkan- mengalahkan
keghoje- kerja
ataih- atas
pasei- pasal
hei- hal
berie- beria-ia
menyemart- smart
aseinye- asalnya

Friday 18 February 2011

kampung dan bandar..

assalamualaikum warahmatullah...
Ku mulai madahku ini dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha mengasihani..

ana dilahirkan di sebuah kampung yang dikenali sebagai kampung kubang pekan, suatu kampung di kuala kangsar,perak.. oleh kerana ana orang perak,jadi ana memohon maaf sekiranya ada istilah-istilah loghat perak yang ana gunakan sepanjang penulisan di dalam blog ini. ana masih ingat lagi sekitar awal tahun 90-an..masa itu popular dengan muzik rock jiwang.ana berumur 7 tahun semasa tahun 1995. masih segar di dalam ingatan ana,ketika itu walaupun ana masih kecil,tapi suasana ketika itu sangat gembira. maklumlah,baru berusia 7 tahun...masa main-main..masa itu kawasan kampung sangat tenang,nampak suasana kampung. dengan air sungai yang jernih, hutan yang menghijau, burung-burung berkicauan. tetapi sekarang, ana lihat suasana kampung berubah. mungkin boleh ana katakan berubah 100%! mengapa?
kita biarkan dulu soalan itu bemain di kotak fikiran kita...kita tinggalkan sebentar.. ana ingin mengimbau kenangan ana sepanjang ana hidup di bumi ALLAH yang maha luas ini. ana bersekolah di sekolah menengah kebangsaan sayong.sekolah biasa-biasa yang menjadikan ana insan pada hari ini.selepas SPM,ana sempat masuk tingkatan enam sekejap je,kemudian menjejakkan kaki ke politeknik ungku omar di ipoh pula.. tapi baru semester 1,ana mendapat tawaran SPA untuk mengambil jurusan fisioterapi di sg buloh..apa yang ana ingin cerita sebenarnya? skop pandangan dan perspektif ana tentang keadaan yang berlaku di sekeliling ana berubah setelah ana keluar daripada kampung ana. banyak perkara yang berubah apabila ana keluar daripada lingkungan kampung ana. dulu semasa masih belajar di ipoh, ana memandang politik ini sebagai kotor. semua parti adalah sama,tiada beza...dulu ana cukup benci untuk membicarakan berkenaan politik,kerana bagi ana PAS dan UMNO adalah sama. masing-masing hanya tahu berpolitik tanpa mengambil kira keperluana rakyat. tetapi setelah ana keluar daripada lingkungan kampung ana, ana mula berubah.
"kebanyakan kubu kuat BN adalah di kawasan kampung-kampung di mana tidak ada capaian media alternatif untuk penduduk di sana",masih terngiang-ngiang kata-kata daripada naqib ana.. benar! ana setuju. di kampung ana, capaian internet sangat lemah. penduduk(kebanyakannya orang tua) sangat-sangat bergantung kepada televisyen semata-mata. media televisyen yang utama(RTM dan media prima) telah dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu untuk memanipulasikan berita yang tidak sepatutnya..
"orang-orang kampung menunggu waktu berita di tv seolah-olah sedang menunggu wahyu turun. apa yang ada dalam tv, semuanya diterima bulat-bulat", ini kata seorang ustaz kepada ana..mengapa begitu? yalah...mereka semua percaya 100% kepada berita yang disampaikan dalam tv tu.. macam tunggu wahyu turun la.kan? itu salah satu contoh yang ana nak bawa... ana selalu terfikir, kalaulah ana tidak keluar daripada lingkungan kampung ana dulu,mungkin sekarang skop pandangan ana masih tak berubah. bila ana keluar daripada kampung, ana bertemu ramai orang. mermacam ragam, dan akhirnya ana berjumpa dengan jama'ah islam..
kenangan ini takkan ana lupakan..
kampung ana... ana amat sayangkan kampung ana..tapi apa yang ana lihat sekarang, kampung ana tidak ada serinya lagi.tak macam dulu, ana rasa sangat berseri-seri. sekarang bila ana balik kampung,ana jadi susah hati..gembira bila berjumpa mak dengan abah, jumpa opah.. tapi bila ana jalan-jalan keliling kampung, terlalu banyak kemungkaran yang ana lihat.. dulu tak pernah nampak budak perempuan kampung pakai tak menutup aurat.tapi sekarang sukar untuk ana mencari gadis kampung yang memakai ikut sibghah ALLAH.bukan hanya di kampung ana rasanya, di kampung-kampung lain juga begitu. sahabat baik ana, zulkifli pernah keluar satu kenyataan yang ana amat setuju. katanya... kalau dulu,orang yang ingin mencari ilmu agama, orang akan pergi ke kawasan kampung kerana ramai golongan ustaz-ustaz di kampung.. tapi dewasa ini, sudah terbalik. sekarang sesiapa yang inginkan agama perlu pergi ke kawasan bandar kerana di bandar sekarang bercambah pengajian-pengajian agama.orang-orang bandar yang 'educated' begitu bersemangat mempelajari ilmu agama. sedangkan di kampung, kampung ana contohnya, sangat sukar untuk mengadakan ceramah agama. kampung ana senyap daripada "bunyi-bunyi agama"..ini yang ana kesalkan. bila orang muda bersuara,orang-orang lame(lebih sopan pakai istilah ni) akan tegur kerana tak sesuai dengan mereka.padahal sepatutnya program-program untuk menarik minat orang muda patut dipergiatkan..
suasana kampung ana dah banyak yang berubah.... suasana manusia yang berubah,bukan persekitarannya! ramai anak-anak gadis kampung ana yang sudah tidak tahu etika berpakaian, etika bergaul. ana kadang-kadang cuba menegur, tetapi orang kampung amat susah ditegur. lebih-lebih lagi kalau kita memang kenal.
ana sayangkan kampung ana.. sekarang ana sedang mencari kekuatan untuk pulang ke kampung dan berdakwah di sana..ana kasihankan orang-orang kampung ana, ada yang sangat jahil tentang agama. terutamanya golongan muda. ana amat-amat berharap ana diberi kekuatan untuk mengharungi ini.

cukup sampai di sini coretan ana... sudah penat jari menaip,masa untuk berehat. takut taip panjang-panjang nanti, ana dapat rheumatoid arthritis pulak. =) moga ketemu lagi di lain masa..
ana sudahi warkah ini dengan tasbih kafarah..
wallahua'alam bissawab..
ALLAHUAKBAR!
wassalam....
assalamualaikum warahmatullah....
segala puji-pujian kepada ALLAH yang maha besar lagi maha bijaksana,DIA yang memiliki segala kerajaan,DIA yang memberi kepada sesiapa yang DIA ingini.
selawat dan salam jua ke atas nabi junjungan Muhammad S.A.W. serta seluruh ahlul bait, kepada Saidina Abu Bakr As-Siddiq, Saidina Uthman Bin Affan, Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Ali Bin Abi Talib, serta semua tabi'in, wali-waliNYA, para ulama' yang berjuang untuk DeenNYA..
alhamdulillah,setelah sekian lama ana berfikir untuk menulis blog, dan sekian lama tertangguh kerana tidak yakin untuk menulis,kerana dua sebab, kekangan masa dan amalan yang masih sedikit dibandingkan dengan sahabat-sahabat sekalian.. tetapi hari ini, ana akhirnya membuat keputusan untuk menulis blog ini.. hampir 15 minit ana terpaku di depan laptop,memikirkan nama yang sesuai untuk blog ni.. ana ni tak berapa kreatif untuk mencipta nama... jd nama yang ada ni main "tangkap muat" je.. =)
pertamanya,ana harap tiada sesiapa yang kisah kerana ana lebih selesa menggunakan kata ganti saya dengan "ana". jadi selepas ini, kesemua artikel akan menggunakan ana sebagai ganti kepada saya. ^_^ ana menulis blog ni semata-mata untuk berkongsi rasa, berkongsi suka, berkongsi duka, luahan perasaan yg tidak melampau,dan macam-macam lagi... ana mengharapkan doa daripada sahabat-sahabat semua agar ana dapat menulis apa-apa dalam artikel ni tanpa ada perasaan riya' dan takabbur. ana sangat bimbang kalau-kalau timbul perasaan ini tatkala ana sedang menaip..na'uzubillah...
blogger pada masa ini sangat ramai, sampaikan kita tak tahu nak baca yang mana satu,dan kadang-kadang hingga ke tahap kita ragu dengan apa yang disampaikan oleh blogger tersebut.. insyaALLAH, apa-apa yang ana tulis ini berlandaskan nas-nas yang muktabar..jika ada mana-mana kesilapan di dalam penulisan ana,ana mohon supaya antum(sesiapa sahaja) supaya menegur ana.. ana bukanlah seorang yang hebat,ana hanyalah orang biasa. tapi ana masih ingat kata-kata seorang ustaz di dalam bukunya(ana x igt ustaz mana dan tajuk buku.maaf).ini katanya: kita mungkin orang biasa,tapi jadilah orang biasa yang membuat perkara luar biasa".maksudnya kita bukan bercita-cita untuk jadi seorang yang hebat,tetapi segala yang kita lakukan adalah diluar kebiasaan kita..ana cuba untuk mencari kelainan dalam penulisan blog ni agar blog ana tidak hanya sekadar biasa-biasa.
rasanya sampai setakat ni dulu...ana tak nak tulis panjang-panjang dan antum bosan untuk membacanya. sekurang-kurangnya artikel ni adalah sebagai artikel pengikat ukhwah antara kita sesama muslim...andai ada kesilapan di dalam artikel ni,tolong betulkan ana..ana hanya seorang hamba yang lemah tanpa DIA di sisiku. tarbiyah ini akan ku teruskan demi memastikan pewaris dunia di masa hadapan adalah rijal yang mampu mengharmonikan dunai dengan Deen. inilah CITA PEMUDA.
wallahua'alam bissawab...
wasalamualaikum warahmatullah....